Memudahkan laman web menyatakan pilihan tentang latihan AI
Sebab kami menyokong isyarat bersama yang membolehkan pengendali laman web menyampaikan pilihan mereka kepada berbilang penyedia AI secara serentak.
Hari ini, kami mengumumkan OpenAI akan mematuhi isyarat(dibuka dalam tetingkap baru) seragam dalam robots.txt, iaitu fail yang membolehkan laman web menyatakan pilihan mereka tentang penggunaan kandungan mereka untuk melatih model asas AI generatif. Usaha sukarela ini memudahkan penerbit dan pengendali laman web menyampaikan pilihan yang sama kepada beberapa penyedia yang mengambil bahagian secara serentak.
Sebelum ini, pengendali laman web perlu mengenal pasti setiap perangkak dan menyelenggara peraturan yang berasingan bagi setiap penyedia. Penggunaan isyarat yang sama oleh beberapa penyedia mengurangkan beban kerja pengendali.
Kami sasarkan untuk mula menggunakan isyarat ini dalam beberapa bulan akan datang dan akan berkongsi perkembangan terkini berserta butiran pelaksanaannya pada masa itu. Isyarat baharu ini tidak akan menggantikan kawalan yang telah kami sediakan melalui robots.txt. Kawalan perangkak(dibuka dalam tetingkap baru) sedia ada kami, yang memberikan fleksibiliti dan kawalan kepada penerbit web terhadap halaman mereka, akan terus terpakai dan dipatuhi.
Usaha ini berasaskan kerja yang sedang dijalankan(dibuka dalam tetingkap baru) oleh kumpulan kerja Keutamaan AI di bawah Internet Engineering Task Force (IETF). Kami bersama-sama peserta lain dalam kumpulan kerja tersebut mengumumkan isyarat seragam ini hari ini, dan percaya bahawa langkah ini mengukuhkan penglibatan berterusan kami dalam perbincangan piawaian IETF. OpenAI akan terus menyesuaikan amalannya seiring dengan perkembangan perbincangan tersebut dan perubahan landskap, dengan mengambil kira kawalan yang wajar dan keadilan.
Kami percaya bahawa ini ialah langkah praktikal ke arah web terbuka yang membolehkan orang ramai menerbit dan menemui maklumat, serta menyediakan cara yang lebih jelas dan mudah untuk pemilik laman web menyampaikan pilihan mereka tentang cara kandungan mereka digunakan. Kami menggalakkan penyedia AI lain untuk mematuhi isyarat ini.


