Cara mengaitkan penggunaan AI dengan nilai perniagaan
Fahami cara pasukan menggunakan ChatGPT Work dan Codex, lihat kerja di sebalik perbelanjaan serta kaitkannya dengan hasil yang boleh diukur.
Apabila semakin banyak pasukan menggunakan AI, pentadbir dan pemimpin perniagaan perlu memahami bidang yang memperoleh manfaat daripadanya dan pelaburan yang perlu dibuat seterusnya. Penggunaan dan perbelanjaan hanya menceritakan sebahagian daripada kisahnya. Pentadbir juga perlu mengetahui tujuan orang menggunakan AI dan perkara yang dapat dicapai dengan bantuannya.
Analitik dalam Konsol Pentadbir ChatGPT menggabungkan data penggunaan dan kos, cerapan tugas serta metrik hasil bagi ChatGPT Work dan Codex.
Berikut ialah cara pentadbir boleh menggunakan alatan ini untuk memahami penerimagunaan, menyokong pasukan dan menilai nilai perniagaan.
Analitik penggunaan menunjukkan bidang yang mencatatkan peningkatan penerimagunaan dan tumpuan perbelanjaan, sekali gus membantu pentadbir memfokuskan sokongan, menyemak kos dan menilai permintaan kapasiti. Paparan Penggunaan menggabungkan pengguna aktif, kredit dan penggunaan token bagi ChatGPT Work dan Codex. Contohnya, penapisan mengikut kumpulan atau pengguna boleh menunjukkan bidang yang kurang menerima guna AI, lantas memberi sebab kepada pentadbir untuk menyemak aliran kerja permulaan dan keperluan latihan bersama pemilik pasukan.

Gambaran keseluruhan Penggunaan menunjukkan pengguna aktif dan trend kredit bagi ChatGPT Work dan Codex. Semua tangkapan skrin menggunakan data demo ilustrasi.
Pengelas tugas dalam Cerapan membantu pentadbir memahami kerja yang disokong AI dengan mengumpulkan sampel mesej mengikut kes penggunaan dan tugas. Contohnya, kejuruteraan perisian merangkumi pembangunan ciri dan penyelenggaraan kod, manakala jualan & hasil merangkumi penyelidikan dan perancangan akaun. Tab Gambaran keseluruhan menunjukkan gabungan kerja sepintas lalu, manakala tab Kes penggunaan menyediakan jadual terperinci dengan pecahan tugas. Pentadbir boleh menapis mengikut kumpulan untuk melihat cara pasukan menggunakan AI, kemudian bekerjasama dengan pemilik perniagaan untuk menentukan aliran kerja dan hasil yang hendak dinilai.

Gambaran keseluruhan Cerapan menunjukkan cara kredit diagihkan mengikut tugas, daripada pelaksanaan ciri sehingga kepada penyelidikan akaun.
Bagi pasukan jualan yang ditunjukkan di bawah, penyelidikan dan perancangan akaun menggunakan bahagian kredit terbesar—titik permulaan untuk membincangkan cara AI mengubah penyediaan akaun.

Jadual Kes penggunaan memperincikan kerja pasukan mengikut tugas, berserta kredit, mesej dan pengguna aktif.
Dalam butiran tugas, pecahan Model, Penaakulan dan Kelajuan menunjukkan bahagian kredit bagi setiap tetapan untuk sesuatu tugas. Ini membantu pentadbir menilai sama ada persediaan tersebut sesuai dengan kerja dan memfokuskan latihan pada pemilihan model. Contohnya, ringkasan rutin mungkin wajar diuji menggunakan persediaan yang lebih pantas atau berkos lebih rendah dengan membandingkan kualiti serta masa untuk menyemak dan membetulkannya.
Paparan Papan kedudukan pemalam dan Kemahiran menunjukkan alatan yang menyokong sesuatu tugas, sekali gus membantu pentadbir memfokuskan latihan dan menentukan aliran kerja yang perlu diselenggarakan atau dikongsi. Penggunaan rendah bagi pemalam yang berkaitan mungkin menunjukkan keperluan akses atau latihan. Kemahiran yang kerap digunakan pula mungkin memerlukan pemilik yang jelas dan kemas kini berkala.

Paparan Hasil menunjukkan sumbangan Codex kepada komit tergabung dan baris kod, di samping aktiviti semakan kod. Trend serta penapis kumpulan, pengguna atau repositori yang tersedia membantu pentadbir dan pemimpin kejuruteraan memahami penerimagunaan dan menentukan bidang untuk memperluas akses atau menyokong pasukan.
Jika Codex menyumbang kepada bahagian kod tergabung yang semakin meningkat, pemimpin kejuruteraan boleh membandingkan trend itu dengan masa semakan, kecacatan dan kerja semula untuk menilai sama ada Codex membantu pasukan melancarkan perisian dengan lebih berkesan.

Paparan Hasil menjejaki bahagian komit tergabung dan baris kod yang menerima sumbangan Codex dari semasa ke semasa.
Pemalam Pentadbir dalam ChatGPT Work membolehkan pentadbir membandingkan penerimagunaan, perbelanjaan dan tugas, kemudian mengubah penemuan menjadi laporan untuk keputusan belanjawan dan pelaksanaan. Pemalam ini juga boleh menghasilkan bahan siap, seperti dek pembentangan kepimpinan yang mengandungi carta, penemuan utama dan cadangan langkah seterusnya, untuk dikongsi dengan pihak berkepentingan rentas fungsi.
Dengan API Pentadbir, pasukan boleh mengautomatikkan laporan dalam papan pemuka mereka sendiri dan menggabungkan analitik dengan data sistem perniagaan. Contohnya, papan pemuka sokongan boleh menunjukkan penggunaan kredit bersama masa penyelesaian tiket.

Pemalam Pentadbir membandingkan trend kredit pasukan dan meringkaskan perubahan untuk semakan pelaksanaan bulanan.
Data penggunaan dan tugas menjadi titik permulaan untuk pentadbir menilai manfaat bersama pemilik perniagaan. Pemilik perniagaan menambahkan konteks yang diperlukan untuk menilainya: perkara yang berubah dalam aliran kerja, sama ada hasil bertambah baik dan nilai peningkatan tersebut. Bersama-sama, mereka boleh mengaitkan aktiviti produk dengan ukuran seperti masa penghantaran, kualiti atau keuntungan.
Katakan pengelas tugas dalam Konsol Pentadbir menunjukkan penyelidikan akaun ialah tugas lazim dalam kumpulan jualan. Pentadbir menyemak sama ada pilihan model sesuai dengan tugas, menyediakan latihan apabila pemalam CRM kurang digunakan dan berkongsi kemahiran untuk menghasilkan pelan akaun yang konsisten. Pemilik jualan kemudian membandingkan masa persediaan dan kualiti pelan dengan garis dasar pasukan. Jika masa dapat dijimatkan, mereka menjejaki jumlah masa yang digunakan untuk perbualan pelanggan, perbualan yang menjadi peluang berkelayakan dan peluang yang menghasilkan jualan. Hasil dan margin sumbangan daripada perniagaan tersebut bantu menunjukkan sama ada kapasiti tambahan menghasilkan manfaat kewangan.
Untuk meneroka nilai sesuatu aliran kerja, mulakan dengan beberapa soalan:
Apakah yang ingin anda tingkatkan? Pilih hasil yang penting kepada pasukan, seperti persediaan lebih pantas, kerja lebih berkualiti, kos lebih rendah atau jualan lebih tinggi.
Bagaimanakah prosesnya pada masa ini? Tetapkan titik permulaan: kekerapan pasukan melakukan tugas tersebut, tempoh yang diperlukan dan ciri-ciri hasil yang baik.
Apakah yang berubah dengan AI? Bandingkan hasil dalam tempoh yang ditetapkan. Sertakan masa yang digunakan untuk menyemak dan membetulkan kerja agar penyiapan yang lebih pantas masih memenuhi standard kualiti pasukan.
Apakah yang dapat dilakukan oleh pasukan berikutan perubahan ini? Masa yang dijimatkan mungkin membolehkan lebih banyak perbualan dengan pelanggan. Kerja yang lebih berkualiti mungkin mengurangkan bilangan pembetulan. Berbincanglah dengan pasukan untuk memahami perkara yang paling memerlukan peningkatan tersebut.
Adakah manfaatnya berbaloi dengan pelaburan? Bandingkan manfaat yang diperoleh pasukan dengan perbelanjaan anda untuk AI, persediaan dan sokongan berterusan. Ini dapat membantu anda menentukan perkara yang perlu diperluas dan bidang yang mungkin memerlukan lebih banyak bantuan.
ROI tahunan Ilustratif: penyelidikan akaun jualan
Bayangkan sebuah pasukan jurujual yang setiap seorang menyediakan dua ringkasan akaun setiap minggu. Setiap ringkasan menggabungkan sejarah akaun, penyelidikan industri dan sudut pandangan untuk perbualan seterusnya.
Apakah yang berubah dengan AI?

Apakah jumlah keseluruhannya?
Masa tahunan yang dijimatkan
20 jurujual × 2 ringkasan seminggu × 3 jam dijimatkan × 46 minggu = 5,520 jam
Anggaran nilai kapasiti tahunan
Andaikan pasukan menggunakan 50% daripada masa tersebut untuk kerja produktif, yang dinilai berdasarkan kos pekerja menyeluruh sebanyak $75 sejam. Jurujual boleh menggunakan masa itu untuk berhubung dengan bakal pelanggan baharu, membuat susulan tentang peluang dan meluangkan lebih banyak masa bersama pelanggan.
5,520 jam × 50% × $75 = $207,000
Jumlah kos tahun pertama
Andaikan $60,000 untuk AI, persediaan, latihan dan sokongan berterusan.
($207,000 − $60,000) ÷ $60,000 = ilustrasi ROI sebanyak 245%.
Nilai sesuatu aliran kerja boleh melangkaui produktiviti. Dalam jualan, penyelidikan akaun yang lebih baik dan pemahaman bersama tentang pelanggan dapat menyokong perbualan yang lebih mendalam, hubungan yang lebih kukuh dan peluang baharu. Pasukan kemudian boleh mengukur sama ada peningkatan tersebut menghasilkan hasil perniagaan tambahan, seperti kitaran urus niaga yang lebih pantas atau kadar kemenangan yang lebih tinggi.
Semua angka adalah hipotesis. ROI mencerminkan anggaran nilai kapasiti dan tidak termasuk potensi manfaat daripada kadar kemenangan yang lebih tinggi, saiz urus niaga yang lebih besar atau hasil jualan lain.
Daripada melancarkan perisian sehingga kepada mengendalikan acara langsung, pelanggan menggunakan AI untuk tugas yang penting bagi perniagaan mereka:
1Password menggunakan Codex untuk membina, menyemak dan menguji perisian supaya jurutera dapat melancarkan ciri dengan lebih pantas. Ia menganggarkan ROI sebanyak 553% dan nilai kapasiti kejuruteraan tahunan sebanyak $0.8 juta dengan menggunakan Codex untuk membina ciri sedia pengeluaran dan alatan dalaman dengan lebih pantas sambil mengekalkan dasar keselamatan yang ketat.
ATV Big Air Tour menggunakan ChatGPT Work untuk menyemak senarai acara, merancang inventori dan meningkatkan keterlihatan laman webnya. Masa semakan senarai berkurang daripada lapan jam kepada satu jam seminggu, manakala kerja inventori berkurang daripada dua hingga tiga hari kepada dua hingga tiga jam. Ini memberi pasukan lebih banyak masa untuk menumpukan perhatian pada jelajah dan pelanggannya.
Playco menggunakan GPT‑6 Astra melalui API OpenAI untuk membina dan menguji prototaip permainan yang boleh dimainkan. Pasukan itu menghasilkan tiga prototaip bertema daripada satu asas dan melaporkan pengurangan 50% dalam pembetulan manual berbanding model sebelumnya, sekali gus membantu pembangun menguji dan membandingkan lebih banyak idea.
Buka Cerapan dalam Konsol Pentadbir dan pilih tugas lazim yang menyokong keutamaan perniagaan. Semak tugas itu bersama pemilik perniagaan, persetujui garis dasar dan hasil yang akan diukur, kemudian tetapkan tarikh untuk menyemak kemajuan. Gunakan hasil tersebut untuk menentukan sama ada hendak memperluas aliran kerja, menambah baik cara pasukan menggunakannya atau menguji pendekatan lain. Ketahui lebih lanjut(dibuka dalam tetingkap baru) dalam dokumentasi kami.


