Grab dan OpenAI membawa kemahiran AI praktikal ke Asia Tenggara
Program kemahiran serantau pertama kami akan membantu 30,000 rakan pemandu, penghantar dan peniaga Grab membina kemahiran AI praktikal untuk pekerjaan dan perniagaan mereka
Di seluruh Asia Tenggara, peniaga membuat keputusan setiap hari tentang jualan, stok dan promosi. Sesetengah pekerja ekonomi gig sedang meneroka idea perniagaan mereka sendiri. AI boleh membantu mereka menangani persoalan ini, tetapi mereka perlu berlatih untuk mencari cara yang berguna bagi menerapkannya.
Itulah sebabnya hari ini kami melancarkan GO Forward with AI bersama Grab, aplikasi super terkemuka di Asia Tenggara. Dalam tempoh dua tahun akan datang, program ini akan membantu 30,000 rakan pemandu, penghantar dan peniaga Grab di seluruh Asia Tenggara membina kemahiran yang boleh digunakan dalam pekerjaan dan perniagaan mereka. Program ini bermula di Singapura dan akan diperluas ke Thailand, Indonesia dan Filipina pada hujung tahun ini, diikuti Malaysia dan Vietnam pada tahun 2027.
Kerjasama ini menggabungkan misi kami untuk memastikan kecerdasan am buatan memberi manfaat kepada seluruh umat manusia dengan komitmen Grab untuk memperluas peluang ekonomi di seluruh Asia Tenggara. Kerjasama ini juga sebahagian daripada OpenAI untuk Singapura, iaitu usaha kami bersama rakan kongsi tempatan untuk membantu lebih ramai individu dan perniagaan di sini menggunakan AI.
Daripada rasa ingin tahu kepada kemahiran praktikal
Ramai rakan kongsi Grab sudah berminat dengan AI. Dalam tinjauan Grab terhadap rakan pemandunya di Singapura, separuh daripada rakan pemandu dan penghantar Grab berkata bahawa mereka menggunakan alat AI. Dalam kalangan mereka yang belum menggunakannya, 87% berkata bahawa mereka terbuka untuk mencubanya. ChatGPT ialah alat yang paling mereka kenali. Ramai daripada mereka menyatakan hasrat untuk mengembangkan perniagaan sedia ada atau meneroka peluang memulakan perniagaan.
Kami mereka bentuk GO Forward with AI berdasarkan keputusan yang perlu dibuat oleh ramai daripada mereka. Rakan pemandu atau penghantar boleh menggunakan ChatGPT untuk meneroka idea perniagaan, memikirkan cara untuk menjadikannya menonjol dan merancang langkah permulaan. Peniaga boleh menggunakannya untuk mengenal pasti corak jualan, merancang promosi atau membuat persediaan menghadapi perubahan permintaan.
Dalam bengkel amali, peserta juga akan mencuba ChatGPT Work untuk tugas yang lebih besar, seperti menukar data jualan menjadi papan pemuka, membina laman web ringkas atau merangka pelan pengembangan. Mereka akan menyemak hasilnya dan membuat keputusan susulan.

Pelancaran GO Forward with AI di Singapura bersama Menteri Negara Foo Cexiang; Pengarah Urusan Antarabangsa OpenAI, Oliver Jay; Ketua Pegawai Keupayaan Organisasi Grab, Ong Chin Yin; pasukan Grab; dan rakan pemandu wanita.
Grab dan OpenAI berkongsi aspirasi untuk memastikan manfaat AI lebih mudah diakses dan bermakna kepada komuniti yang kami berkhidmat. Rakan kongsi kami teruja dengan AI, tetapi ramai yang mahukan panduan praktikal tentang cara menerapkannya mengikut keperluan pekerjaan, perniagaan dan aspirasi mereka. Program ini bertujuan membina keyakinan tersebut, sama ada dengan membantu peniaga membuat keputusan perniagaan yang lebih bijak atau menyediakan alat kepada rakan pemandu untuk meneroka idea perniagaan baharu dan mewujudkan peluang pertumbuhan.
—Ong Chin Yin, Ketua Pegawai Keupayaan Organisasi di Grab
Kami telah bekerjasama dengan Grab sejak tahun 2024 dalam pembangunan pelbagai alat, termasuk Pembantu AI Pemandunya. Dikuasakan oleh model OpenAI, alat ini membantu pemandu mencari permintaan, memanfaatkan masa mereka sebaik-baiknya dan mendapatkan jawapan kepada soalan harian. Alat ini telah digunakan oleh hampir 500,000 pemandu. GO Forward with AI meneruskan usaha tersebut dengan memberi rakan kongsi masa dan panduan untuk mencuba AI demi mencapai matlamat mereka sendiri.
ChatGPT telah diterima pakai secara meluas di seluruh Asia Tenggara, mencerminkan keterbukaan rantau ini terhadap teknologi baharu. Namun, ramai masih belum memanfaatkan sepenuhnya perkara yang boleh dibantu oleh ChatGPT. Pelancaran program ‘GO Forward with AI’ yang bermula di Singapura merupakan sebahagian daripada komitmen OpenAI untuk Singapura bagi menjadikan AI mudah diakses oleh semua. Kami berbangga dapat bekerjasama dengan Grab, yang berkongsi keyakinan kami bahawa AI harus praktikal, mudah diakses dan berguna kepada komuniti yang kami berkhidmat. Bersama-sama, kami mahu membantu peniaga dan pekerja platform membina keyakinan untuk menggunakan keupayaan AI berejen seperti ChatGPT Work bagi meningkatkan kecekapan serta membuka peluang baharu dalam pekerjaan dan perniagaan mereka.
—Oliver Jay, Pengarah Urusan Antarabangsa di OpenAI
Kami mahu kemahiran AI praktikal bantu mewujudkan peluang yang lebih saksama. Peniaga atau pekerja platform mungkin tidak mempunyai pasukan besar untuk bantu menganalisis maklumat, mengembangkan idea atau merancang langkah seterusnya. Dengan latihan yang tepat, mereka boleh menggunakan AI untuk mengendalikan sendiri lebih banyak tugasan tersebut.
Sebagai seorang yang sentiasa berminat untuk mempelajari kemahiran baharu dan merebut peluang, AI membantu saya meneroka idea baharu dan membuat keputusan yang lebih tepat setiap hari. Bengkel ini membantu saya mengubah idea menjadi tindakan. Saya juga telah meneroka cara baharu untuk menyokong perniagaan gerai makanan keluarga kami sambil membangunkan projek yang boleh membantu saya menjana sumber pendapatan alternatif. Saya teruja untuk terus belajar dan mengembangkan idea saya.
—Suhada Abdullah, rakan pemandu Grab
Membawa program ini ke seluruh Asia Tenggara
Bersama Grab, kami akan mengadakan bengkel bersemuka selama setengah hari di seluruh rantau ini dalam beberapa bulan akan datang, berdasarkan kurikulum Akademi OpenAI dan disesuaikan dengan keperluan rakan kongsi di setiap negara. Kami juga akan melatih tenaga pengajar GrabAcademy supaya mereka dapat menyampaikan program ini kepada lebih ramai orang dari semasa ke semasa.
Apabila program ini diperluas melangkaui Singapura, kami akan menyesuaikan setiap bengkel mengikut keperluan tempatan dan pekerjaan peserta. Kami berharap dapat membantu lebih ramai individu dan perniagaan di seluruh Asia Tenggara membina kemahiran untuk meraih manfaat AI.


